Friday, 30 December 2016

Sweetree Restaurant menyediakan Makanan Halal Korea

Assalamualaikum. Teruja sangat untuk update blog Fiza ini sebelum tahun baru 2017. Kalau ikutkan entry lepas, Fiza mungkin akan jenguk semula blog ini bila masuk tahun baru. Tapi macam tak jadi pula.
Berbalik kepada tajuk cerita, Rabu lepas Fiza dan suami bersama si kecil Thaqif telah pergi menjamu selera di restoran yang menyediakan makanan halal korea iaitu Sweetree Restaurant yang terletak di Taman Putra Sulaiman, Ampang.
Dah lama tak makan makanan korea dan akhirnya di sini terdapat pelbagai jenis menu yang pasti tidak mengecewakan pengunjungnya.
Restoran Sweetree, Ampang
Di pintu masuk, pengunjung akan dapat melihat simbol Halal Malaysia 
Ground Floor
Bila duduk, staf terus berikan kami menu. Al maklumlah kali pertama datang ke sini, lama juga kami belek menunya. Tapi tujuan kami datang sebab teringin nak makan beberapa menu yang sering kami tonton dalam rancangan televisyen siaran korea. 
Menu Korean Food
Sementara menunggu makanan yang dipesan, kami dihidangkan dengan Banchan sebagai menu pembuka selera. Banchan biasanya terdiri daripada nasi, kimchi,  korean tofu, pumpkin cheese dan menu yang Fiza pun tak kenal pasti sangat.
Banchan sebagai pembuka selera. 
Kalau makan makanan Korea atau Jepun, Fiza pasti akan order 
Ice Green Tea Latte
Menu pertama yang tiba, tteokbokki atau nama dalam menu Sweet and Sour Radish Chili Topoki. Kalau dalam Running Man dorang panggil kek beras pedas. Berbeza dengan tempat lain yang Fiza pernah makan, kek beras di Sweetree Restaurant agak kenyal dan sukar untuk dikunyah. Tapi dari segi rasa kuah memang terbaik.
Sweet and Sour Radish Chili Topoki
Mama Thaqif makan tak ingat kat anak dah.. haha 
Tak lama lepas tu, menu kedua dan ketiga sampai. Tuna Kimbab dan Jjambong with rice. Tuna Kimbab rasa macam sushi dan yang istimewa adalah Jjambong. Jjambong kebiasaannya dihidangkan dengan mee, tapi kami pilih nasi. Dalam Jjambong mengandungi kuah yang bercampur dengan daging, makanan laut serta sayur-sayuran.
 Jjambong with rice
Tuna Kimbab 
Perut sudah penuh, menu akhir Spring Onion Pancake. Yang ini baru la si kecil Thaqif makan. Suap je habis, suap je habis. Menu ini memang menu yang tak pernah lagi Fiza rasa. Memang teringin sangat bila tengok scene running man kerap makan pancake.
Spring Onion Pancake
Habis ke nie. Mestilah habis kan.
Bawah ini Fiza kongsikan ganbar-gambar dekorasi Sweetree Restaurant. Sedap mata memandang dan memang terasa tenang dengan suasana restoran.
 
 

 
Pengunjung juga boleh mengenakan pakaian cosplay untuk drama Descendants of the sun.
 Jom bergambar dengan teddy bear besar.
Sweetree Restaurant dibuka setiap hari kecuali hari Selasa dan beralamat di 
No. 13 L-1 & 2, Jln. Ampang Putra, Tmn. Putra Sulaiman, Ampang.
Ampang, Kuala Lumpur.
Pengalaman Fiza makan di sini memang seronok dan menepati selera. Bagi korang yang berkeinginan untuk merasai makanan korea, boleh lah berkunjung di sini. Wassalam.

Tuesday, 27 December 2016

Senarai Cuti Umum 2017

Assalamualaikum. Mulai esok Fiza sudah mula bercuti panjang bagi menghabiskan baki cuti tahun. Hari ini pun kakitangan pejabat sudah mula bercuti. Maka tinggal lah daku seorang diri. Di bawah ini Fiza kongsikan cuti umum yang diperuntukkan dan cuti tahunan yang perlu digunakan untuk mendapatkan cuti yang panjang. 


Selamat merancang cuti. Yelah kerja itu penting tapi masa bersama keluarga pun sama penting kan. Selamat Tahun Baru 2017. Selamat menempuh tahun baru dengan azam yang baru. Kalau azam yang lama masih belum tercapai, boleh bawa ke tahun baru.
Blog Fiza pun akan turut bercuti panjang. In syaa Allah, lepas cuti Fiza akan update dan berkunjung ke blog korang pula. Wassalam.

Friday, 23 December 2016

Menikmati makanan laut segar di Restoran Makanan Laut Riverview, Kuala Selangor

Assalamualaikum. Rezeki semalam, salah seorang Pengarah syarikat telah bermurah hati untuk belanja kami makan tengah hari di  Restoran Makanan Laut Riverview, Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Restoran terletak bersebelahan Sg. Pasir Penambang dan pengunjung restoran dapat menikmati pemandangan sungai sambil menjamu selera.
Restoran Makanan Laut Riverview
Sebelum makan Fiza ambil sedikit gambar persekitaran restoran. Kelihatan seperti tidak ramai orang pengunjung mungkin disebabkan makan tengah hari. 
Tepi sungai dan terasa sejuk walaupun tengah matahari terik.
Pemandangan di sepanjang sungai.
Menu berasaskan makanan laut. Masakan panas turut disediakan.
Sesi bersembang sebab ini kali pertama Fiza bertemu Datin Sekin.
Tidak sedar pengunjung telah memenuhi restoran.
GM dan abg Zul 
Terima kasih Datin Sekin atas jemputan.
Licin menu yang Datin pilih. Gambar makanan yang dihidang Fiza segan nak ambil. 
Alhamdulillah semua menu sedap dan makanan laut yang disediakan memang segar.
Untuk korang yang berhajat untuk menikmati makanan laut, sebelum datang korang perlu membuat tempahan meja sebab risau restoran penuh. Lepas nie bolehlah bawa famili Fiza pula untuk makan di sini.. 
Wassalam.

Wednesday, 21 December 2016

Siang Dan Malam Lebih Panjang hari ini

Assalamualaikum. Apa yang dikatakan siang dan malam lebih panjang pada hari ini. Bagaimana fenomena ini berlaku. Jom baca.
Image Source
Bumi hari ini mengalami fenomena solstis musim sejuk di hemisfera utara dan solstis musim panas di hemisfera selatan.
Menurut Pegawai Sains Planeterium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, fenomena ini akan membuatkan bumi mengalami hari paling singkat di hemisfera utara manakala di hemisfera selatan pula, hari paling panjang.
“Fenomena solstis musim sejuk terjadi apabila matahari berada di titik terendah langit mengakibatkan bumi mengalami hari yang singkat di hemisfera utara.
“Sementara di hemisfera selatan, matahari akan berada di titik tertinggi menyebabkan kawasan tersebut akan mengalami hari terpanjang bagi tahun 2016 ini yang juga turut dikenali sebagai solstis musim panas,” katanya kepada media.
Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu risau mengenai perkara ini kerana ia merupakan fenomena biasa dan hanya memberi kesan dari segi musim dan tempoh panjang hari yang berbeza di kawasan hemisfera utara dan selatan bumi sahaja.
Tambahnya lagi, fenomena solstis ini berlaku setiap tahun dan disebabkan oleh kedudukan paksi bumi yang condong sebanyak 23.5 darjah.
Namun begitu, tarikh dan masa bagi fenomena ini berubah saban tahun kerana perbezaan kalendar tahunan yang mempunyai 365 hari setahun sedangkan pergerakan sebenar bumi mengelilingi matahari (atau tahun solar) adalah selama 365.26 hari.
Untuk pengetahuan ramai, tahun solar merupakan tempoh sebenar yang diperlukan bumi mengorbit sepenuhnya mengelilingi matahari dan tempohnya panjang sedikit berbanding dengan kalendar yang kita guna dalam satu tahun.
Happy Winter Solstice Festival
Bagi kepercayaan orang Cina, perayaan yang dipanggil Winter Solstice Festival disambut pada tarikh yang tidak dapat ditentukan dengan tetap tetapi pada tahun ini ia disambut pada 21 Disember 2016. 
Tang yuan (a sweet soup with balls of sticky rice)

The Winter Solstice Festival has its origins in the Chinese concept of yin and yang, which represents balance and harmony in life. It’s believed that the yin qualities of darkness and cold are at their most powerful on the shortest day of the year, but also at their turning point to give way to the light and warmth of yang. For this reason, the Winter Solstice Festival is a time for optimism.
In the southern parts of China this is a particularly important celebration, second only to Chinese New Year for many families. This is because the Winter Solstice Festival was traditionally the time by which farmers and fishermen had to prepare for the coming colder months.
Most people finish work early on the festival and go home for lavish meals with their families. They’ll usually include tangyuen on the menu (a sweet soup with balls of sticky rice) because its name sounds like ‘reunion’.

Wordless Wednesday : Apa yang dimaksudkan dengan ikhlas

Assalamualaikum..
Image Source


Running Man akhirnya ditamatkan

Assalamualaikum. Pernah juga Fiza terfikir apa jadi bila Running Man sudah tiada. Setelah 7 tahun bersiaran, rancangan kegemaran dan hiburan seluruh dunia akhirnya Running Man bakal melabuhkan tirai untuk musim pertama tidak lama lagi. Bermula dengan penarikan Gary kerana ingin meneruskan kerjayanya dalam bidang nyanyian, Ji hyo dan Jong Kook juga dikatakan tidak diberikan penyambungan kontrak.


Pihak produksi akan menerbitkan RM musim kedua. Setelah serasi bersama, sukar untuk menerima kehadiran orang baru. Tim RM yang lain telah bersepakatan untuk meninggalkan RM. Episod terakhir bakal ditanyangkan pada bulan Februari 2017.
Musim kedua kita pun tidak tahu lagi macam mana kan. Sama-sama kita nantikan. Kalau best kita tonton, kalau tak best tutup je tv.
p/s : Kang Ho Dong bakal jadi host untuk RM musim kedua? Fiza memang tak minat. Harap ahli RM yang baru dapat memenuhi citarasa penonton.  Annyeong oppa and unnie  - _ - 

Tuesday, 20 December 2016

Jom ke Cendol Bakar Kuala Selangor

Assalamualaikum. Lama juga tak pekena cendol. Selalu Fiza makan cendol yang dijual di lori yang parking tepi-tepi jalan. Kali ini, Mr. Hubby bawa kami merasa cendol bakar di Kuala Selangor. 
Cendol biasa 
Lempeng pisang.
Dua menu ini kalau makan dalam cuaca yang panas memang terbaik. Kalau korang singgah ke Kuala Selangor, jangan lupa singgah Cendol Bakar. Kalau malas turun kereta, mereka juga menyediakan kemudahan pandu lalu. 
Wassalam.

Monday, 19 December 2016

Hadiah Cabutan bertuah sebagai Hadiah Hari Lahir

Assalamualaikum. Alhamdulillah, rezeki berpihak pada Mr. Hubby apabila mendapat sebuah smartphone dalam Majlis Makan Malam hasil daripada cabutan bertuah. Sebelum majlis makan malam itu pun memang dia sudah berhajat kalau boleh ada rezeki untuk menang cabutan bertuah.
Rezeki yang tidak dijangkan apabila smartphone jenama Lenovo Vibe K5 Plus menjadi milik Mr. Hubby. 
Hadiah ini diberikan kepada Fiza sempena hari ulang tahun kelahiran Fiza pada 11 Disember yang lepas. Seronoknya dapat smartphone percuma. Wassalam.

Thursday, 15 December 2016

Bunga Petunia sebagai tanaman hiasan gantung

Assalamualaikum. Bulan lepas Fiza dan MIL ke nursery bunga Sg. Buloh. Waktu itu, fiza sempat beli bunga petunia merah hati sahaja. Bapak mertua sarankan suruh beli lagi dua. Dia siapkan paku kat dinding untuk gantung bunga yang akan dibeli nanti.
Nampaknya seluruh keluarga mertua memang support habis pasal beli bunga nie. Minat terhadap bunga makin menjadi bila Mr. hubby pun beri galakkan sebab dia pun sukakan bunga.
Hasilnya 3 jenis warna bunga petunia gantung ada depan rumah Fiza. 
Bunga petunia warna merah jambu 
Bunga petunia warna merah hati  
Bunga petunia warna ungu
Bunga petunia sesuai untuk ditanam dalam iklim serta cuaca yang panas. Senang dijaga, sangat cantik dan sesuai untuk hiasan laman rumah. 
Membesar dengan sihat yer sayang. Jadi rutin sekarang ini, sebelum pergi kerja dan selepas balik kerja wajib siram bunga dulu. 
Wassalam.  

Thaqif di ruangan Mandi Manda Majalah PaMa Disember 2016

Assalamualaikum. 
Sebagai pembeli dan pembaca setia majalah Pa&Ma, 
buat kali keempat dan kali ini gambar Thaqif diterima untuk masuk dalam ruangan Mandi Manda.
Walaupun tiada sebarang hadiah ditawarkan, ini semua untuk suka-suka sahaja.
Boleh jadi kenangan buat Thaqif bila besar nanti.
Majalah Pa&Ma Disember 2016
Thaqif mandi di Teluk Kemang, Port Dickson
Ruangan Mandi Manda muka surat 137
Seronok dan gembira bila gambar anak masuk dalam majalah.
Walau pun tidak glamor mana, Thaqif tetap glamor di hati mama dan dedi.
Wassalam.

Wednesday, 14 December 2016

Wordless Wednesday : Back to work

Assalamualaikum.
Kerja dulu..
 hujung tahun nanti kita cuti panjang lagi.
>_<

Friday, 9 December 2016

Percakapan melambangkan hati seseorang

Assalamualaikum. Teringat orang selalu kata.. "Alah, mulut je jahat tapi hati baik". Pada pendapat Fiza tiada ungkapan yang sebegitu kerana orang yang hatinya baik tidak akan melukakan hati orang yang sedang mendengar apatah lagi apabila percakapan tersebut ditujukan khas buat pendengar itu.
Antara adab dalam percakapan adalah : 
  1. Bercakap perkataan yang baik. Lebih baik diam dari berkata sesuatu yang tidak sesuai.
  2. Berlemah-lembut dan bersopan dalam berinteraksi.
  3. Percakapan yang menyenangkan.
  4. Bercakap tentang perkara yang mendatangkan faedah diri, masyarakat dan negara.
  5. Bercakap benar.

Sekadar peringatan untuk diri sendiri dan bak kata pepatah biar "Wajah yang kotor tidak akan menyakitkan hati seseorang tetapi lidah yang kotor pasti akan menyakitkan hati seseorang". 
Salam Jumaat buat semua pembaca. Wassalam.

Wednesday, 7 December 2016

#MyTravelokaEscapade: Korea Selatan destinasi percutian idaman

Bukan mudah untuk memilih destinasi percutian lebih-lebih lagi destinasi yang menjanjikan percutian yang dapat memberi pengalaman yang indah dengan pemandangan alam semula jadi, peluang membeli-belah dan menikmati makanan yang sedap dan lazat.
Di samping dapat menyelami sejarah dan adat resam negara yang ingin dilawati, kemudahan pengangkutan juga perlu dititikberatkan bagi memastikan percutian berjalan lancar dan tiba di destinasi yang ingin dituju.
Salah satu destinasi yang penuh dengan tarikan dan memenuhi citarasa peribadi semua pengunjung adalah Korea Selatan. Saya ada alasan sendiri untuk menjadikan Korea Selatan destinasi percutian idaman saya.

#1 Destinasi terbaik untuk memulakan City Tour di Menara Seoul N /   N Seoul Tower

Menara ini juga dikenali sebagai Menara Namsan atau Menara Seoul, merupakan menara ikonik yang menawarkan pemandangan panorama hampir seluruh Kota Seoul dan terdapatnya Restoran N Grill yang bertemakan gaya Barat serta berputar (satu putaran setiap 48 minit). Terdapat juga ruang yang dihiasi dengan seni iaitu Sky Restroom. Kedua-duanya menawarkan pemandangan pemandangan kota.
Untuk ke Menara tersebut, saya akan memilih untuk menaiki kereta kabel sambil menikmati keindahan pemandangan Gunung Namsan.  
Saya juga ingin melihat Love Lock di atas menara di mana tempat ini juga adalah tempat yang sangat popular untuk pasangan (couple). Pasangan yang menuju ke menara Seoul N akan mengunci "mangga cinta" mereka di pagar dan percaya bahawa cinta mereka akan kekal selama-lamanya. Saya juga ingin mengunci cinta di Menara Seoul N dengan kesempatan yang diberikan oleh #MyTravelokaEscapade.

#2 Dapat mengenali budaya dan tinggalan sejarah kerajaan Dinasti Joseon di Istana Gyeongbokgung/ Gyeongbokgung Palace

Istana Gyeongbokgung adalah satu daripada 5 kerajaan Dinasti Joseon yang terletak di Seoul Utara. Istana ini dibina pada abad ke-14 dan menempatkan juga National Palace Museum of Korea dan National Folk Museum of Korea.
Pengunjung akan disajikan dengan persembahan upacara pertukaran pengawal istana di Dataran utama Gyeongbokgung Palace. Teruja rasanya jika dapat melihat persembahan tersebut. Bergambar di Gyeongbokgung Palace akan membuktikan bahawa saya benar-benar berada di Korea dan #MyTravelokaEscapade pasti tidak akan menghampakan impian saya.

#3 Kagum akan suasana perkampungan di Bukchon Hanok Village

Image Source
Bukchon Hanok adalah perkampungan yang meletakkan beratus-ratus rumah tradisional yang dipanggil Hanok. Nama Bukchon bermaksud "kampung utara," Pada hari ini, kebanyakkan hanok beroperasi sebagai pusat kebudayaan, rumah tumpangan, restoran dan rumah teh (tea house). Saya ingin menggunakan peluang yang diberikan oleh #MyTravelokaEscapade  untuk mengalami, belajar serta melibatkan diri dalam budaya tradisional Korea. 

#4 Peluang hebat menyelami dunia artis di MBC World Theme Park

Sebagai peminat tegar drama Korea dan sering mengikuti perkembangan selebriti Korea, MBC World Theme Park adalah tempat pelancongan Hallyu yang sangat menarik di Seoul dan tempat yang saya hendak kunjungi. Memandangkan terdapat banyak tempat di Seoul yang kerap digunakan sebagai tapak penggambaran untuk drama dan program hiburan Korea, MBC World Theme Park menawarkan tarikan pelancongan yang dikhususkan untuk Hallyu iaitu di MBC World Theme Park. Peluang yang sangat hebat dan hanya #MyTravelokaEscapade yang dapat memenuhi impian saya.

#5 Berpeluang berpakaian Hanbok di Perkampungan Jeonju Hanok

Image Source
Perkampungan Jeonju Hanok menyediakan banyak makanan jalanan korea. Di sini pengunjung dapat memakai pakaian Tradisional Rakyat Korea Hanbok. Teruja dan seronok sekiranya #MyTravelokaEscapade dapat merialisasikan impian destinasi percutian idaman saya ke Korea Selatan. 


Image Source
Selain itu, Perkampungan Jeonju Hanok juga menyediakan kelas pembuatan tembikar. Satu pengalaman baru buat saya sekiranya ia menjadi kenyataan.

#6 Window Shopping di Zon Pelancong Khas Itaewon

Image Source
Itaewon pula adalah zon pelancongan khas pertama dan sangat terkenal sebagai destinasi pelancongan popular. Seoul Central Masjid yang juga terletak di Itaewon dan merupakan masjid Islam pertama di Korea. Pengunjung Muslim juga tidak perlu khuatir untuk mendapatkan makanan yang halal kerana ianya ada di sini. Itaewon menyediakan banyak Restoran Halal khas buat pelancong muslim. Harapan untuk berkunjung ke Itaewon dengan #MyTravelokaEscapade menjadi kenyataan. 

#7 Cuci mata di Insa-dong pusat seni dan cenderamata

Image Source
Galeri adalah nadi Insa-dong. Terdapat kira-kira 100 galeri di kawasan ini dan setiap kedai mempamerkan contoh seni halus Korea tradisional daripada lukisan sehingga ke seni arca. Galeri yang paling terkenal adalah Galeri Hakgojae, Galeri Seni Gana dan Pusat Seni Gana.
Insa-dong amat popular di kalangan pelancong asing. Ini kerana mereka boleh mengalami dan melihat sendiri budaya tradisional Korea. Pengunjung juga dapat membeli hasil seni halus yang dipamerkan. Saya hendak abadikan seni kraftangan tersebut untuk dibawa pulang dengan peluang #MyTravelokaEscapade. Insa-dong juga terkenal dengan gula-gula Korea dan pajeon tradisional (pancake Korea). Teringin juga saya hendak makan gula-gula Korea dan pancake Korea di sini.

#8 Merasai dan nikmati keaslian makanan Korea

Korea telah menyediakan pelbagai restoran dan kedai makanan halal buat pengunjung. Tidak lengkap percutian sekiranya tidak mencuba makanan tradisi rakyat Korea. Makanan seperti Bimbimbap, bulgogi, Korea BBQ amnya telah dikenali. Pilihan untuk makanan halal juga telah banyak tersedia seperti Jjampong, Hobakjuk, Hotteok, Tteokbokki dan Fish Cake yang pasti akan menambat selera saya. Tidak salah untuk mencuba keaslian makanan korea dengan peluang yang akan diberikan oleh #MyTravelokaEscapade.

#9  Berfotografi ala Winter Sonata di Pulau Nami

Image Source
Drama Korea bertajuk Winter Sonata telah menjalani sesi pengambaran di Pulau Nami. Drama tersebut membawa fenomena dan gelombang Korea ke seluruh dunia serta menjadikan Pulau Nami tempat pelancongan ikonik di Korea. Tempat wajib yang saya akan lawati dan sudah pasti tidak akan melepaskan peluang ini untuk bergambar dan merasai sendiri keindahan Pulau Nami. #MyTravelokaEscapade tunaikanlah impian saya.

#10 #MyTravelokaEscapade akan merialisasikan impian destinasi percutian saya ke Korea Selatan

Image Source
Inilah jawapan kepada 10 sebab kenapa saya memilih Korea Selatan sebagai destinasi percutian saya dan berharap percutian ini menjadi kenyataan dengan #MyTravelokaEscapade.
Layari http://www.traveloka.com.my bagi  merialisasikan impian percutian idaman anda. 

Bacaan Tambahan